
MOHAMED Khaled (tiga kanan) beramah mesra dengan pengamal media yang hadir pada Majlis Berbuka Menteri Pertahanan Bersama Media. FOTO Bernama
Kuala Lumpur: Inisiatif program JanaVeteran bakal memberi manfaat kepada veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk menceburi bidang pertanian selepas menamatkan perkhidmatan tentera.
Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, inisiatif berkenaan dilaksanakan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dengan kerjasama Bousted Plantations Berhad (BPlant) dan Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV).
Menurutnya, usaha itu sekali gus berupaya membantu kerajaan memperkukuhkan keterjaminan makanan negara di samping membuka peluang kepada ahli veteran ATM menjana pendapatan dalam bidang keusahawanan tani.
“Ia akan membabitkan beberapa program seperti Program Tanaman Halia dan Cili Fertigasi yang akan menyediakan plot fertigasi atas tanah seluas 105 hektar kepada pesara tentera terpilih, dimana 80 hektar adalah bagi penanaman halia dan baki 25 hektar (cili).
“Untuk permulaan, program itu dijangka akan memberikan manfaat kepada 100 veteran ATM sebagai usahawan yang akan menguruskan penanaman fertigasi menggunakan teknologi moden,” katanya pada program berbuka puasa bersama pengamal media, di sini, hari ini.
Turut hadir, Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari, Panglima Angkatan Tentera Datuk Mohd Nizam Jaffar dan Panglima Tentera Darat Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan.
Majlis anjuran Kementerian Pertahanan itu meraikan pengamal media sekali gus menghargai peranan media tempatan dalam usaha menyalurkan liputan positif serta membantu dalam usaha menyampaikan informasi berkaitan kementerian kepada masyarakat.
Mohamed Khaled berkata, inisiatif JanaVeteran, Halia dan Cili Fertigasi itu dimulakan dengan projek perintis di Kota Tinggi, Johor.
“BPlant akan menyediakan 15 plot fertigasi membabitkan 15 peserta di atas tanah seluas 12 hektar di mana setiap peserta berpotensi menjana pendapatan sehingga RM3,000 sebulan.
“Melalui program ini, Veteran ATM yang terbabit disasarkan dapat mengeluarkan 3,500 metrik tan halia setahun dan 350 metrik tan cili setahun dalam tempoh tiga tahun akan datang,” katanya.
Katanya, Program Usahawan Tani Veteran turut dilaksanakan yang mana ia membuka peluang kepada pesara menjadi usahawan dalam bidang pertanian dengan mengusahakan tanaman kontan yang tersenarai di dalam program Keterjaminan Makanan Negara.
“Dalam usaha ini, BPlant sudah mengenal pasti 300 hektar tanah milik BPlant di Semenanjung Malaysia untuk diusahakan dengan tanaman kontan,” katanya.
Pada majlis itu, Mohamed Khaled turut merasmikan pra-peluncuran aplikasi PERWIRA Super App, aplikasi yang dibangunkan oleh Perwira Niaga Malaysia (PERNAMA) Network dengan kerjasama Mastercard International.
Menurutnya, ia kegunaan komuniti di bawah Kementerian Pertahanan yang menggabungkan kecerdasan buatan (AI) untuk mempercepat transformasi masyarakat Kementerian itu ke arah digital dengan ciri keselamatan canggih, cekap, selamat dan mesra pengguna.
“Aplikasi ini akan memberi manfaat kepada komuniti ketenteraan dalam bidang ekonomi dengan menjanjikan transformasi digital khusus kepada warga pertahanan dan veteran serta semua anak syarikat di bawah seliaan Kementerian Pertahanan,” katanya.
Sumber: Harian Metro