
Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin bersama Pengerusi PERNAMA, Jen Tan Sri (Dr) Abdul Aziz Zainal melancarkan Pra Peluncuran Perwira Super App sambil diperhatikan oleh Timbalannya, Adly Zahari (dua dari kanan) dan Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Datuk Mohd Nizam Jaffar (dua dari kiri) pada Majlis Berbuka Menteri Pertahanan Bersama Media di Royale Chulan, Kuala Lumpur, semalam. GAMBAR: Abd Razak Aid
KEMENTERIAN Pertahanan (MINDEF) memperkenalkan PERWIRA Super App yang menggabungkan kecerdasan buatan (AI) untuk mempercepat transformasi masyarakat MINDEF ke arah digital dengan ciri keselamatan canggih, cekap, selamat dan mesra pengguna.
Aplikasi yang dibangunkan Perwira Niaga Malaysia (PERNAMA) Network dengan kerjasama Mastercard International itu bakal memberi manfaat kepada komuniti ketenteraan dalam bidang ekonomi.
“Aplikasi ini akan memberi manfaat kepada komuniti ketenteraan dalam bidang ekonomi dengan menjanjikan transformasi digital khusus kepada warga pertahanan dan veteran serta semua anak syarikat di bawah seliaan MINDEF.
“Antara fungsi yang disediakan melalui aplikasi ini adalah Perkhidmatan Kewangan, E-Marketplace, diskaun eksklusif dan ganjaran kesetiaan, Government Connect Module, mengintegrasikan ciri kesihatan dan kesejahteraan serta hab e-Learning,” kata Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis berbuka puasa Kementerian Pertahanan bersama pengamal media di Hotel Royale Chulan, semalam.
Seramai kira-kira 300 pengamal media diraikan dalam majlis tersebut.
Mengulas lanjut, Mohamed Khaled memberitahu, fungsi perkhidmatan kewangan yang diperkenal dalam aplikasi tersebut akan membolehkan pengguna menyemak status terkini gaji, dompet digital yang selamat, pembayaran bil dan analisis kewangan bagi meningkatkan literasi kewangan serta kesejahteraan pengguna.
Katanya, fungsi E-Marketplace pula akan membolehkan komuniti MINDEF membuat pembelian dalam talian di e-Marketplace dan PERNAMA Online Store.
“Pengguna juga akan mendapat diskaun eksklusif dan hadiah kesetiaan apabila menggunakan aplikasi tersebut dengan setiap pembelian melayakkan pengguna mengumpul mata seterusnya boleh ditebus untuk ganjaran istimewa,” katanya.
Pada majlis yang sama, Mohamed Khaled turut meluncurkan Inisiatif Program JanaVeteran yang melibatkan kerjasama Boustead Plantations Berhad (BPlant) dan Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV).
Program yang meliputi dua usaha utama iaitu program tanaman halia dan cili fertigasi serta program usahawan tani veteran itu merupakan usaha bagi membantu golongan veteran ATM menjana pendapatan stabil dengan menceburi bidang pertanian.
Sumber: Utusan TV