Skip to main content

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin (tengah) melancarkan Pra Peluncuran Perwira Super App pada Majlis Berbuka Menteri Pertahanan Bersama Pengamal Media pada Selasa.- FOTO: MOHD HALIM ABDUL WAHID

KUALA LUMPUR – Kementerian Pertahanan mengambil satu lagi langkah strategik dalam memperkasakan komuniti pertahanan dengan melancarkan PERWIRA Super App, sebuah aplikasi pintar berasaskan kecerdasan buatan (AI) yang dibangunkan oleh Perwira Niaga Malaysia (PERNAMA) dengan kerjasama Mastercard International.

Aplikasi ini direka khusus untuk warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM), veteran, serta komuniti di bawah Kementerian Pertahanan, bagi mempercepatkan proses digitalisasi dan penyaluran perkhidmatan serta maklumat harian dengan lebih efisien.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, Super App ini memperkenalkan pelbagai fungsi termasuk semakan gaji, e-dompet, pembayaran bil, fungsi pembelian atas talian melalui e-marketplace dan PERNAMA Online Store serta pemberian ganjaran kesetiaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Berbuka Puasa Menteri Pertahanan Bersama Pengamal Media di Hotel Royal Chulan, di sini pada Selasa.

Majlis yang dianjurkan oleh Kementerian Pertahanan itu bertujuan meraikan serta menzahirkan penghargaan kepada pengamal media tempatan yang telah banyak membantu menyampaikan maklumat berhubung isu pertahanan negara kepada masyarakat.

Turut hadir Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Datuk Mohd Nizam Jaffar; Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari; Pengerusi LTAT, Jeneral (B) Tan Sri Azizan Ariffin; Pengerusi PERNAMA, Jeneral (B) Tan Sri Dr Abdul Aziz Zainal serta pegawai kanan ATM dan wakil syarikat berkaitan.

Beliau berkata, antara ciri menarik aplikasi itu termasuk Government Connect Module yang membolehkan mesej dan maklumat rasmi disampaikan terus kepada anggota ATM, selain modul kesihatan, kesejahteraan, tempahan janji temu hospital dan fungsi kecemasan SOS.

Aplikasi ini turut menyediakan e-Learning Hub bagi meningkatkan pengetahuan warga kementerian dalam pengurusan kewangan dan kesihatan.

Ia juga menawarkan diskaun eksklusif serta ganjaran kesetiaan dalam bentuk mata ganjaran yang boleh ditebus dengan baucar, hadiah atau pulangan tunai.

Mohamed Khaled optimis aplikasi itu akan menjadi medium penting untuk menyatukan pelbagai perkhidmatan dalam satu platform mesra pengguna demi kemudahan warga pertahanan.

Inisiatif JanaVeteran bantu veteran ATM jana pendapatan

Dalam majlis sama, beliau turut melancarkan Inisiatif JanaVeteran, iaitu sebuah program hasil kerjasama antara Boustead Plantations Berhad (BPlant) dan Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) untuk membantu golongan veteran ATM menceburi bidang pertanian moden dan keusahawanan tani.

“Inisiatif ini bukan sahaja menyokong agenda keterjaminan makanan negara, malah membuka ruang kepada bekas anggota tentera menyertai bidang pertanian secara komersial dengan sokongan teknologi dan bimbingan,” katanya.

Dua program utama diperkenalkan di bawah inisiatif ini iaitu Program Tanaman Halia dan Cili Fertigasi serta Program Usahawan Tani Veteran.

Sebanyak 105 hektar tanah disediakan oleh BPlant – 80 hektar bagi penanaman halia dan 25 hektar untuk cili.

Program ini akan melibatkan penyertaan 100 veteran ATM secara berperingkat sebagai usahawan tani.

Projek perintis telah dimulakan di Kota Tinggi, Johor, dengan 15 peserta mengusahakan fertigasi di atas tanah seluas 12 hektar.

Setiap peserta berpotensi menjana pendapatan sehingga RM3,000 sebulan bergantung kepada hasil tuaian.

Dalam tempoh tiga tahun akan datang, veteran ATM disasarkan mampu menghasilkan 3,500 tan metrik halia dan 350 tan metrik cili setahun, sekali gus menyumbang kepada bekalan makanan negara.

Sementara itu, bagi Program Usahawan Tani Veteran, sebanyak 300 hektar tanah milik BPlant di Semenanjung Malaysia telah dikenal pasti untuk diusahakan oleh veteran ATM menerusi tanaman kontan seperti nanas, ubi, jagung dan tanaman strategik lain.

“Langkah ini memberi peluang kepada veteran untuk menjadi usahawan yang berdikari dengan bimbingan dan kemudahan sokongan oleh pihak kerajaan,” katanya.

Perkukuh hubungan dengan media

Dalam pada itu, Mohamed Khaled berkata, Kementerian Pertahanan terus memperkukuh jalinan strategik bersama pengamal media tanah air menerusi penganjuran Majlis Berbuka Puasa Menteri Pertahanan Bersama Pengamal Media 2025 yang diadakan.

Mohamed Khaled beramah mesra bersama petugas media yang hadir ke Majlis Berbuka Puasa Menteri Pertahanan Bersama Media di sebuah hotel di sini pada Selasa.

Majlis yang dihadiri lebih 300 tetamu itu bukan sahaja meraikan kehadiran wartawan, editor kanan serta petugas media pertahanan, malah menjadi simbol penghargaan atas sokongan dan peranan penting media dalam menyampaikan maklumat berkaitan pertahanan negara kepada rakyat.

Mohamed Khaled menyifatkan media sebagai tulang belakang penyampaian maklumat tepat dan benar kepada masyarakat, terutamanya dalam konteks keselamatan negara yang kian mencabar.

Beliau menegaskan bahawa media memainkan peranan sangat penting dalam konteks pertahanan negara, bukan hanya sebagai saluran maklumat tetapi juga sebagai benteng utama melawan penularan maklumat palsu dan disinformasi.

“Kita tidak menafikan bahawa media merupakan tulang belakang dalam menyampaikan maklumat tepat dan benar kepada rakyat. Peranan ini sangat signifikan, lebih-lebih lagi dalam era ancaman keselamatan bukan tradisional seperti siber dan penyebaran disinformasi,” tegas beliau.

Katanya, penularan berita palsu, kempen disinformasi dan penyebaran maklumat sekerat-sekerat oleh pihak tidak bertanggungjawab mampu menggugat kepercayaan rakyat terhadap institusi keselamatan negara.

“Jika perkara ini tidak dibendung, ia boleh meretakkan keharmonian masyarakat dan menyukarkan pasukan keselamatan menjalankan tanggungjawab mereka dengan berkesan,” katanya.

Beliau menyeru agar kerjasama erat antara media dan pihak berkuasa diteruskan dalam memastikan ekosistem keselamatan negara kekal stabil, selamat dan terpelihara.

Sumber: Sinar Harian